Thursday, 22 July 2010

Kempen ABJZ I

ImageIntan Abdullah. Foto Nasir Sudin   

"Kita berasa sangat bersyukur ada kumpulan wanita yang gigih menjalankan usaha murni membantu dan membimbing golongan yang dipinggirkan oleh masyarakat hari ini dalam kebobrokan yang kian mencengkam keselamatan semua," ujar Tan Sri Zaleha Ismail yang berucap merasmikan pelancaran Kempen 'Anda Bijak Jauhi Zina' dalam majlis Makan Malam Amal Raudhatus Sakinah (Mars) anjuran yang diadakan di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre, Seri Cempaka Service Suites, Menara PGRM Cheras baru-baru ini. Majlis yang dipengerusikan oleh pengacara Akademi Al-Quran, Farah Adeeba menerima sambutan yang sangat memberangsangkan daripada pelbagai pihak terutama dari segi penajaannya.

Namun begitu, ramai yang hadir hampa kerana tetamu diraja yang dinanti-nantikan oleh semua iaitu Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah sebelum ini dijangka hadir sebagai perasmi, dimaklumkan gering oleh pegawai protokol istana. Sementara itu, Penasihat Mars, Prof Madya Dr Harlina Haliza Hj Siraj dalam ucapan aluannya berkata semua pihak hendaklah menggembeleng tenaga secara 'smart partnership'dalam usaha mempromosi usaha nahi mungkar atau mencegah kemungkaran ini. Masyarakat juga ujar beliau, diminta agar memahami definisi sebenar zina bukan sekadar ketelanjuran remaja yang tewas kepada runtunan nafsu syaitan. Dr Harlina yang juga merupakan Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), berkata melalui kempen ini, ibu bapa juga diseru agar sentiasa prihatin terhadap anak-anak dalam menangani permasalahan gejala sosial. Menurut Pengarah Mars, Rosmawati Zainal, selain pelancaran kempen tersebut Mars diadakan bertujuan untuk menjana dana pembangunan dan pengurusan tiga buah pusat perlindungan yang sedang beroperasi di Kelantan, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.

Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah yang telah beroperasi sejak Ogos 1998 yang dikendalikan oleh Wanita Jim telah membimbing lebih 230 orang remaja. Majlis gilang gemilang tersebut diserikan dengan persembahan penyanyi yang telah berhijrah, Dayangku Intan serta kumpulan Wayfarers.

Di samping itu, penonton juga disajikan dengan persembahan pertunjukan Busana Muslimah yang ditaja oleh Gaya Wawasan Collection, Butik STR Terengganu, Butik Smart and Chic dan Butik Torkuaz. Perasmian Mars telah disempurnakan dengan gimik persembahan multimedia mengisahkan kemelut kehidupan penghuni RS dalam senario keruntuhan akhlak masyarakat pada hari ini. Selain itu, antara maklumat dalam persembahan multimedia yang ditayangkan pada majlis tersebut, ibu yang termuda berusia 11 tahun dengan bapanya berumur 13 tahun di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Majlis yang diadakan ini turut dihadiri oleh selebriti Wardina Safiyyah serta anaknya, Amna yang berjaya mencuri tumpuan penonton dengan gelagatnya. - mks.

Petikan dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment